Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 1999 yang membincangkan Belanjawan 2000 telah memutuskan supaya Kementerian Pendidikan membuat kajian mengenai model dan konsep komuniti yang sesuai untuk diwujudkan di setiap kawasan Parlimen diseluruh negara. Asas pertimbangan penubuhan Kolej Komuniti ialah untuk menyediakan peluang alternatif kepada lepasan menengah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kolej Komuniti juga akan membuka peluang kepada pekerja dan komuniti setempat untuk mendapat pendidikan dan latihan kemahiran yang lebih terancang.

Jemaah Menteri pada 5hb Julai 2000 telah mempertimbangkan memorandum daripada Menteri Pendidikan No.398/2225/00 tentang konsep penubuhan dan perlaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen. Penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti bertujuan memberi peluang pendidikan dan latihan khusus kepada masyarakat setempat untul meningkat kemahiran dan pengetahuan serta taraf sosio ekonomi melalui program pendidikan sepanjang hayat yang fleksibel dan mudah akses.

Kolej Komuniti juga memainkan peranan dalam memenuhi kehendak sosial dan keperluan tenaga manusia selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja mahir demi merealisasikan matlamat wawasan 2020. Melalui persetujuan Jemaah Menteri, Kolej Komuniti Kuala Langat adalah diantara 34 buah Kolej Komuniti yang ditubuhkan pada 1 Mac 2003.

Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) mula beroperasi di kampus sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting, Jalan Persiaran Majlis, Banting pada 1 April 2003 dan berpindah ke kampus induk pada Disember 2003 di Jalan Ubi, Jugra yang kini dikenali sebagai
Jalan Sultan Suleiman Shah. Seramai 50 orang pelajar rintis telah memulakan pengajian di Kampus sementara ini pada 17 Jun 2003.

KKKL menawarkan dua kursus di peringkat sijil iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Perakauan Perniagaan untuk pengambilan pertama. Pada sesi Jun 2004, Kursus Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan), Sijil Pembuatan Perabot serta Sijil Pelancongan dan Pengembaraan telah ditawarkan. Kini, KKKL menawarkan satu program Diploma dan enam Program Sijil.

Selain program sepenuh masa, KKKL juga menjalankan kursus pendek bersesuaian dengan permintaan tempatan bagi memberi peluang kepada komuniti untuk menambah kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang seperti masakan, keagamaan, jahitan, pengkomputeran dan sebagainya.